Pengertian solat Jemaah
Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu Jumaat ialah 2 orang.
Seorang menjadi imam dan seorang menjadi
makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat
pahalanya.
Solat jemaah adalah berlainan hukumnya
menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu:
1. Fardhu ain pada
solat Jumaat;
2. Fardhu kirayah pada
solat fardhu lima waktu; dan
3. Sunat pada solat
jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah padanya, seperti
solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan,
solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadhan.
Tuntutan berjemaah pada solat fardhu
Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.
Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau
mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam
seperti di masdjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung
atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan
solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.
Dalil tentang amat kuatnya tuntutan
berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim,
bahawa,
Rasulullah s.a.w
pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat
berjemaah.
Imam Muslim pula meriwayatkan hadith
daripada Abu Hurairah r.a:
Ada seorang lelaki
buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang
yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda
memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya
Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik
kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar
seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.
Fadhilat (kelebihan) solat berjemaah
Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
Solat berjemaah
melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith
riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah
bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang
bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan
mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia
berulang alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid.
Selepas ini insya-Allah akan diterangkan
fadhilat-fadhilat tersebut untuk menjadi dorongan kepada kita semua agar
cintakan solat berjemaah.
Wallahu a’lam.
|
Saturday, January 28, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment