Bertanggungjawab Ke Atas Kejayaan Diri Sendiri…^_^
Saya teringat kata-kata seorang
pakar motivasi yang menyarankan agar kita semua jangan jadi macam “bangau oh
bangau”. Jika kita ingin memupuk motivasi positif dalam diri kita, hindari diri
dari menyanyikan lagu “Bangau Oh Bangau”. Begitulah lebih kurang kalau tak
silap.
Saya terfikir, apakah lagu “Bangau
oh bangau” tu tak baik untuk motivasi diri, tak baik untuk minda kita, tak baik
untuk motivasi anak-anak. Kalau tak baik, mengapa orang dulu-dulu menggubah
lagu itu? Atau ada makna atau pesanan yang tersirat dalam liriknya?
Bangau oh bangau, mengapa engkau
kurus?
Macam mana aku tak kurus, ikan tidak timbul…..
Macam mana aku tak kurus, ikan tidak timbul…..
Bangau? Bangau menyalahkan ikan di
atas kegagalannya – tidak bagus.
Ikan? Pun sama, menyalahkan rumput.
Rumput, kerbau, perut, nasi, kayu
api, hujan, dan katak pun serupa juga. Menyalahkan orang lain di atas kegagalan
diri.
Adakah diriku sama? Dalam tak sedar
menyalahkan orang lain, menyalahkan keadaan, keluarga dan sebagainya di atas
kegagalan mencapai matlamat yang ditetapkan. Selalu juga, dalam hati, saya
menyalahkan staf bila program yang dirancang tidak mencapai hasil seperti yang
diharapkan. Saya menyalahkan mereka kerana tidak member komitmen dan
sebagainya. Sepatutnya saya perlu buat analisa apa yang menyebabkan hasil tidak
dicapai. Apakah perkara yang tidak berjalan dengan lancar, apa yang berjalan
dengan lancar. Jika tidak lancar, di mana kekurangan. Jika lancar, di mana kami
lakukan dengan baik. Dari situ dapat diperbaiki kelemahan dan ditambahbaik lagi
apa yang sudah baik.
Saya juga tidak mengambil tanggungjawab ke atas
“kegagalan” mencapai hasil. Hati berkata, “Kalau staf dah tak nak beri
komitmen, nak buat macam mana?” Sekiranya saya mengambil tanggungjawab di atas
“kegagalan” tersebut, tindakan susulan saya tentu akan berbeza – lebih bersifat
positif jika dibanding dengan menyalah staf di atas “kegagalan”.
Bagi saya lagu “Bangau oh Bangau” tu
ada juga baiknya. Jangan ikut kumpulan yang 90%, ikut yang 10% ia-itu ular.
Menyalahkan orang lain terhenti pabila sampai giliran ular. Ular berkata,
“memang makanan aku”. Ular mengambil tanggungjawab atas apa yang dilakukannya
dan bersedia menerima akibatnya – sama ada baik atau buruk.
Mungkin inilah mesej yang ingin
disampaikan orang dulu-dulu. Kita mesti mengambil tanggungjawab atas apa-apa
hasil dari kerja kita atau pasukan kita, bukan menyalahkan orang atau benda lain.
No comments:
Post a Comment